Pemberi maklumat tidak dilindungi jika buat pendedahan umum - Azalina

Bernama
Februari 4, 2025 19:15 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.- Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Tiada cadangan untuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi memberi perlindungan kepada pemberi maklumat yang membuat pendedahan umum terlebih dahulu sebelum membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ringkasan AI
  • Tiada cadangan untuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi melindungi pemberi maklumat yang membuat pendedahan umum sebelum laporan kepada agensi penguatkuasaan.
  • Pemberi maklumat perlu membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan terlebih dahulu untuk layak mendapat perlindungan berdasarkan justifikasi tertentu.
  • Beberapa cadangan dasar sedang diteliti untuk meminda Akta 711, termasuk pengenalan skala ganjaran standard dan perluasan perlindungan fizikal kepada pemberi maklumat.

Beliau berkata pemberi maklumat perlu membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan terlebih dahulu dan boleh diberikan perlindungan berdasarkan justifikasi tertentu.
"Kalau kita lihat pada Seksyen 6(1) akta yang ada sekarang yang belum dibuat pindaan, bahawa seseorang boleh buat pendedahan kelakuan tidak wajar kepada mana-mana agensi penguat kuasa.
"Pada masa yang sama Subseksyen 7(1) juga menyatakan perlindungan boleh diberikan pada pemberi maklumat apabila pendedahan dibuat pada mana-mana agensi penguatkuasaan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Teresa Kok (PH-Seputeh) sama ada pindaan yang dicadangkan terhadap Akta 711 akan memperkenalkan pengecualian bagi pendedahan kes berkepentingan awam seperti kes video tular melibatkan dakwaan skandal rasuah di Sabah, memandangkan akta itu tidak melindungi pendedahan awam.
Tiada perlindungan kepada pemberi maklumat yang buat pendedahan umum
Merujuk kepada kes video tular dakwaan skandal rasuah di Sabah baru-baru ini, Azalina berkata bagi kes itu pemberi maklumat tidak dapat dilindungi kerana pendedahan dibuat kepada umum sebelum dilaporkan kepada agensi penguatkuasaan.
"Dalam hubungan ini, pemberi maklumat tidak dapat dilindungi di bawah Subseksyen 7(1). Pada masa sama, tiada cadangan pindaan yang menambah baik Akta 711 bagi melindungi pemberi maklumat yang telah membuat pendedahan kepada umum dan awam.
"Bagaimanapun sekiranya pendedahan dibuat kepada agensi penguat kuasa terlebih dahulu, pemberi maklumat layak untuk dilindungi. Agensi penguat kuasa akan menilai sama ada maklumat itu dilihat sebagai satu keperluan atau tidak.
"Kita (pemberi maklumat) pergi kepada public domain kemudian kita nak mendapat perlindungan, sebab kadang-kadang pemberi maklumat juga tidak mempunyai niat baik," katanya.
Menjawab soalan asal Kok berhubung status pindaan Akta 711, Azalina berkata setakat ini lebih 20 sesi mesyuarat jawatankuasa kerja, lima bengkel pembangunan dan penetapan dasar serta enam sesi libat urus telah diadakan dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi meneliti semula akta terbabit.
Beliau berkata antara pihak yang terlibat dalam memberikan pandangan menyeluruh ialah Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Rasuah Busters, Transparency International, Majlis Peguam serta CSO Platform for Reform.
"Beberapa cadangan dasar sedang diteliti untuk pertimbangan Kabinet bagi meminda Akta 711 antaranya pengenalan skala ganjaran standard bersesuaian untuk memudahkan proses pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat dan perluasan perlindungan kepada pemberi maklumat dari segi fizikal dengan mengguna pakai Program Perlindungan Saksi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009," katanya.
-- BERNAMA
#pemberi maklumat #Akta Perlindungan Pemberi Maklumat #Azalina Othman Said #Dewan Rakyat #terkini
;