Pemberhentian pekerja MAS: Pemuda UMNO akan bertemu wakil NUFAM
Hafiz Marzukhi
Mei 26, 2015 07:38 MYT
Mei 26, 2015 07:38 MYT
Pemuda Umno akan bertemu wakil Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kabin (NUFAM) pada Rabu berhubung isu pemberhentian kakitangan Penerbangan Malaysia (MAS).
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata pihaknya akan mencuba segala yang terdaya untuk memastikan golongan ini terbela.
"Mereka yang terlibat ini mempunyai keluarga dan harus diberi pekerjaan alternatif atau latihan semula untuk memastikan mereka tidak menganggur," kata Khairy.
Tambah beliau, golongan ini juga wajar dipertimbangkan untuk ditempatkan di Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Khairy mengulang pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan bahawa kerajaan akan memberi bantuan kepada pekerja MAS yang ditamatkan perkhidmatan.
Terdahulu, Presiden Kesatuan Ismail Nasaruddin menyampaikan memorandum kepada Pemuda Umno meminta bantuan bagi menyelesaikan isu ini.