Pembentukan Kerajaan Darurat boleh dilakukan selepas 1 Ogos ini - Pakar Perlembagaan

Astro Awani
Jun 4, 2021 14:53 MYT
Ujar Dr Wan Ahmad Fauzi, Seri Paduka Baginda boleh melantik Kabinet Interim dalam kalangan ahli Parlimen sedia ada dari pelbagai parti politik untuk menganggotai Kabinet itu nanti. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pembentukan kerajaan darurat boleh dilakukan selepas 1 Ogos ini, jelas Pakar Perlembagaan Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh memanggil persidangan Parlimen jika Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan digantung kuat kuasanya melalui ordinan.
Malah, ujar beliau, Seri Paduka Baginda boleh melantik Kabinet Interim dalam kalangan ahli Parlimen sedia ada dari pelbagai parti politik untuk menganggotai Kabinet itu jika berlaku dua keadaan iaitu pertama Parlimen dibubarkan dan kedua melalui penggubalan ordinan.
"Dalam tempoh sehingga bulan Ogos ini, Yang di-Pertuan Agong telah menasihati Parlimen boleh bersidang tetapi fokus persidangan itu hanya semata-mata usaha melandaikan lekuk penularan jangkitan COVID-19 dan pemulihan ekonomi.
"Selepas bulan Ogos jika darurat dilanjutkan, maka Kerajaan Darurat boleh diberi pertimbangan termasuk dalam kalangan bukan ahli politik.
"Jadi, dari sudut undang-undang ada cara boleh dibuat, namun dari sudut langkah itu praktikal atau sebaliknya bergantung kepada situasi, katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
BACA: Timbalan Speaker cadang penubuhan 'kerajaan darurat'
BACA: Azalina cadang SOP buka Parlimen, harap sokongan semua Ahli Parlimen
Sebelum ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan penubuhan ‘kerajaan darurat’ dalam masa terdekat, berikutan keadaan COVID-19 di Malaysia yang semakin meruncing.
Menurutnya, 'kerajaan darurat' tidak semestinya dianggotai ahli politik sebaliknya jawatan dalam kerajaan itu boleh diisi individu berkelayakan dan mempunyai kepakaran yang boleh dimanfaatkan.
Tegasnya, semua parti politik harus bekerjasama untuk merealisasikan perkara itu kerana keutamaan sekarang adalah rakyat dan negara, dan politik perlu diketepikan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebelum ini menjelaskan, perkara tersebut wajar dilakukan dan perlu dipertimbangkan oleh semua parti politik.
Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, saranan tersebut perlu diguna pakai kerana setiap idea yang dilontarkan oleh wakil Pakatan Harapan (PH) jarang diterima.
Azalina sebelum ini mendesak agar Parlimen dapat bersidang dengan kadar segera, selepas kecewa dengan sikap kerajaan yang didakwa masih lagi ‘membisu’ terhadap cadangan itu sebelum ini.
Tegasnya, banyak persoalan dan kebimbangan yang dikemukakan ahli Parlimen di ‘luar tembok’ Dewan Rakyat tidak dapat dijawab dan ia disifatkan boleh melumpuhkan demokrasi.
#SOP #COVID-19 #kabinet #darurat #Parlimen #undang-undang #Azalina Othman Said #Mohamed Nazri Abdul Aziz #Azalina Othman #jangkitan #Yang di-Pertuan Agong #Dewan Rakyat #Pakatan Harapan
;