Pembentukan kerajaan: Bersama PN adalah 'lebih mudarat' - Ahmad Zahid
Hasimi Muhamad
Mac 14, 2023 23:39 MYT
Mac 14, 2023 23:39 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk memilih Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuat dengan mengambil kira 'kemudaratan' yang lebih besar.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu kemudian dibentangkan bersama Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi sebelum keputusan dicapai untuk bersama PH.
Presiden UMNO itu menjelaskan, pada masa itu, gabungan berkenaan berpandangan 'kemudaratan lebih besar' adalah jika bersama dengan PN.
"Saya ingin bercakap di sini daripada 56 orang ahli MKT yang dilantik dan hadir, hanya dua orang sahaja yang tidak bersetuju (bergabung dengan PH).
"Ertinya lebih 95 peratus bersetuju dengan cadangan yang saya bentangkan dari segi menilai pemberat dari satu sehingga 10, di mana pemberatnya dari segi nisbah mudarat lebih besar kalau kita bersama PN ketika itu," katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa malam.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, selepas keputusan dibuat, barulah gabungan itu melihat kepada faedah yang bakal dicapai termasuk dari segi kestabilan politik.
"Selepas itu, kerajaan telah dibentuk dengan majoriti mudah. Akhirnya kawan-kawan dari Sabah dan Sarawak serta Bebas (menyatakan sokongan) menyebabkan angka 148 kerusi menjadikan dua pertiga sokongan," ujarnya.
Timbalan Perdana Menteri itu menambah, pembentukan Kerajaan Perpaduan juga dibuat atas saranan dan titah Yang Di-pertuan Agong.
Mengakui bahawa perkara itu bukan mudah, Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, ia tidak mustahil untuk dilaksanakan.
"Maka apabila keputusan daripada Tuanku kepada PH dan baginda menitahkan saya untuk menghadap, dan saya dapat terjemahkan hasrat Tuanku serta merasakan bahawa ini untuk kestabilan politik negara.
"Soalnya, adakah ia difahami di peringkat akar umbi? Pada awalnya agak sukar tetapi Alhamdulillah, rata-rata telah menerima hakikat bahawa kita berada dalam Kerajaan Perpaduan," ujarnya.