Pembentukan Kabinet: Semua pihak perlu hormati keputusan PM - Warisan
Mirlen Axtius
Disember 3, 2022 19:43 MYT
Disember 3, 2022 19:43 MYT
KOTA KINABALU: Semua pihak perlu menghormati barisan Kabinet Kerajaan Malaysia yang dibentuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata sesiapapun yang dilantik itu adalah prerogatif Perdana Menteri dan tidak sepatutnya timbul soal kecewa.
"Rakyat Sabah telah diberikan peluang untuk mengundi dan mereka memilih mengikut apa yang mereka percaya boleh membantu Sabah.
"Terbukti mereka lebih percaya akan keupayaan parti yang berpusat di Semenanjung berbanding parti yang tempatan Sabah," katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Tambah Azis, ia faham terdapat segelintir penyokong Warisan kecewa kerana tiada representasi parti itu dalam barisan Kabinet.
Namun katanya parti itu wajar membuktikan kepada rakyat khususnya di Sabah, bahawa Warisan bukanlah parti yang mengejar jawatan semata-mata.
"Sebaliknya, fokus perlu diberikan kepada usaha dalam membantu rakyat yang terkesan dengan kegawatan ekonomi negara yang agak membimbangkan," katanya.
Pada masa yang sama, Azis turut berkata Warisan juga berpegang teguh pada prinsip asas perjuangan yang mengutamakan tuntutan kepada hak-hak Sabah.
"Kita pastinya ingin melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri akan menepati janjinya untuk menunaikan tuntutan Sabah dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Kita boleh memberikan masa kepada Anwar untuk mencerakin dan menelusuri sejarah perjanjian MA63 ini dan menunaikan dan melaksanakan apa yang telah dipersetujui oleh bapa-bapa kemerdekaan Sabah.
"Namun tidak sewajarnya memakan masa yang lama kerana perjanjian ini adalah perjanjian antarabangsa yang sah dari segi undang-undang," tegasnya.