Pembentukan Kabinet: PM Anwar selesai menghadap Agong selepas 40 minit

Hasimi Muhamad
Disember 2, 2022 09:40 MYT
Anwar dilihat meninggalkan Istana Negara sekitar jam 9.15 pagi selepas kira-kira 40 minit menghadap Agong. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dilihat meninggalkan Istana Negara sekitar jam 9.15 pagi selepas kira-kira 40 minit menghadap Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Difahamkan, Perdana Menteri mempersembahkan senarai jemaah Kabinet Kerajaan Perpaduan bagi mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.
Sebelum itu, Presiden PKR itu tiba di Istana Negara sekitar pukul 8.20 pagi menaiki kenderaan jenis Proton Perdana berwarna hitam.
Pembentukan Kabinet: PM Anwar tiba menghadap Agong
Setakat ini, desas-desus mendakwa pengumuman barisan Kabinet akan dibuat oleh Perdana Menteri pada petang ini.
Begitupun, ia belum disahkan lagi.
KABINET PERPADUAN NASIONAL 2023
Dalam perkembangan lain, Anwar juga dijadual menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta pada jam 10 pagi ini, selain menghadiri beberapa program bersama rakyat.
Beliau dijangka mengadakan sidang media sekitar pukul 1 tengah hari ini di Ipoh.
Khamis malam, Anwar berkata berkata perbincangan mengenai pelantikan barisan Kabinet kini hampir selesai dan berharap ia dapat diumumkan dalam masa terdekat.
Perdana Menteri berkata pembentukan barisan menteri perlu dilakukan segera dan dijangka dapat diumum dalam masa dua atau tiga hari lagi.
Anwar sebelum ini, menegaskan saiz Kabinet di bawah pentadbirannya akan dikecilkan, selain tidak memberi ruang kepada mereka yang dilabel sebagai 'Kluster Mahkamah'.
Bagaimanapun, beberapa nama yang bakal mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), portfolio kedua tertinggi dalam negara, dan jawatan penting lain termasuk Kementerian Kewangan, masih menjadi teka-teki.
Presiden PKR itu juga mengesahkan jawatan TPM kemungkinan besar diberikan kepada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai parti induk dalam Kerajaan Perpaduan.
#Anwar Ibrahim #Yang di-Pertuan Agong #jemaah kabinet #Pantau Kerajaan Baharu #PM10
;