Pembentukan Kabinet: Gabungan pemimpin lama dan baharu mampu bawa perubahan
Mirlen Axtius
Disember 3, 2022 16:23 MYT
Disember 3, 2022 16:23 MYT
KOTA KINABALU: Kepelbagaian latar belakang dengan gabungan wajah pemimpin lama dan baharu dalam Kabinet Persekutuan mampu membawa perubahan serta reformasi demi masa depan negara yang lebih baik.
Pengerusi Tetap Majlis Belia Sabah, Mazlan Joehari Manan berkata, ia termasuk pelantikan dua Ahli Parlimen dari Sabah, iaitu Datuk Armizan Mohd Ali sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) dan juga Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Ushawan dan Koperasi.
"Aspirasi perjuangan mereka sebelum ini sudah tentu mampu membawa perubahan yang ingin direalisasikan dalam kerajaan Malaysia. Walau bagaimanapun jumlah kecil wakil negeri Sabah dalam Kabinet Kerajaan sedikit mengecewakan.
"Semoga akan ada lantikan dan tanggungjawab yang lebih signifikan kepada wakil-wakil Sabah dalam kerajaan dan GLC kemudiannya nanti yang mampu membawa bersama aspirasi rakyat Sabah," katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Sambil merakamkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas barisan kabinet itu, Mazlan berkata, anak muda Sabah dan rakyat secara keseluruhannya akan melihat perubahan yang mampu dilaksanakan oleh kerajaan baru serta kemampuan mereka dalam membentuk dasar-dasar kerajaan yang dapat meningkatkan taraf hidup rakyat sesuai dengan perubahan zaman.
"Kami anak muda dan rakyat negeri Sabah memohon agar lebih banyak perubahan yang mampu di bawa dan dilakukan kerajaan persekutuan kepada hak dan kepentingan rakyat negeri Sabah.
"Peluang telah dihidangkan dan amanah harus dipertanggungjawabkan, kami sentiasa berharap agar kerajaan baru ini mampu membawa perubahan kepada negara ke era baru demi Malaysia yang lebih baik," tegasnya.
Selain itu, Mazlan menambah, penyenaraian Pengerusi Barisan Nasional Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri sudah tentu bukan seperti yang diharapkan oleh rakyat kebanyakan, tetapi deretan senarai nama baharu menjawat jawatan menteri diharapkan mampu membawa perubahan dan reformasi yang dilaungkan sebelum ini.