Pembentukan Kabinet bayangan beri tawaran kredibel kepada PH - Dr Sivamurugan
Umavathi Ramayah
Februari 25, 2021 18:39 MYT
Februari 25, 2021 18:39 MYT
KUALA LUMPUR : Cadangan pembentukan kaukus atau Kabinet bayangan dilihat memberi tawaran yang lebih kredibel kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mencerminkan pembaharuan yang ingin dibawa sejajar dengan dengan perubahan dalam konteks sasiah politik atau politik perdana.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, pembentukan Kabinet bayangan akan membolehkan pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan seperti parti politik dan pemimpinnya turut sama-sama terlibat dalam isu nasional dan mampu memperkemaskan kedudukan PH selain dilihat sebagai persediaan awal ke arah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
"Cadangan pembentukan kaukus atau Kabinet bayangan sebenarnya memberi satu tawaran kepada dasar atau polisi yang lebih jitu kepada rakyat ketika sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19, isu vaksin, ekonomi, teknologi, pendigitalan, perpaduan dan juga isu reformasi penginstitusian yang ada," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, Kabinet bayangan juga akan membantu untuk mewujudkan organisasi yang lebih tersusun serta lebih strategi dalam sudut untuk mendepani cabaran ketika negara sedang berdepan dengan isu-isu di peringkat kebangsaan.
"Apatah lagi mereka (PH) mempunyai beberapa pemimpin yang pernah berkhidmat dalam Kabinet dan pengalaman itu boleh digunakan untuk memainkan peranan semak dan imbang yang boleh diutarakan dalam konteks Kabinet bayangan yang lebih luas," tambahnya lagi.
Beliau menjelaskan, selain itu, fokus berdasarkan Kabinet bayangan juga membolehkan pemantauan dilakukan dalam mengurus tadbir kerajaan secara berterusan dan membolehkan pembangkang dilihat sebagai sebuah organisasi yang berfungsi untuk memberi makna ke atas peranan mereka dalam Parlimen.
Walaupun ada sebilangan mungkin bertanggapan kini PH mempunyai ahli Parlimen yang menyuarakan sesuatu isu secara spesifik berdasarkan portfolio yang diberikan berdasarkan konteks yang lebih meluas, namun katanya, Kabinet bayangan harus difikirkan selepas tumbangkan PH.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching percaya PH tidak melakukan sesuatu yang 'konkrit' untuk menyakinkan orang ramai untuk menawan semula Putrajaya.
Ekoran itu, beliau yakin gabungan itu perlu mewujudkan kaukus bagi pembentukan Kabinet bayangan selaku 'kerajaan menunggu'.