Pembentukan Blok Borneo perlu diutamakan demi kepentingan Sabah dan Sarawak
Mirlen Axtius
Mei 19, 2023 18:56 MYT
Mei 19, 2023 18:56 MYT
KOTA KINABALU: Usaha pembentukan Blok Borneo yang melibatkan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak perlu diperkasakan bagi membolehkan rakyat di kedua- dua wilayah itu menikmati pelbagai manfaat.
Pengerusi Society Empowerment and Economic Development of Sabah (SEEDS), Datuk Azhar Khan Badil Zaman berkata, perjuangan itu perlu diteruskan untuk membolehkan kemudahan infrastruktur asas di Sabah khususnya dapat dipertingkatkan.
"Kemudahan seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air sangat penting kepada rakyat. Ia juga adalah keperluan asas negeri untuk menarik pelaburan.
"Sekiranya, Blok Borneo dapat diperkasakan, sudah pasti kerajaan pusat mampu memberikan peruntukan yang lebih banyak untuk tujuan pembangunan," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri SEEDS 2023 di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, Sabah dan Sarawak memainkan peranan penting dalam penubuhan kerajaan pusat pada hari ini.
Oleh itu katanya, pemerkasaan Blok Borneo satu perkara penting agar Sabah dan Sarawak akan menerima layanan yang lebih saksama dengan Semenanjung Malaysia.
"Keperluan di kedua-dua negeri ini hanya boleh dilihat oleh rakyat di Sabah dan Sarawak, khususnya kita orang Sabah, kita lebih tahu apa yang kita perlukan untuk negeri ini," tegasnya.
Hadir sama dalam majlis itu ialah isteri kepada Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag.
Turut diraikan adalah penghuni dari Anak Rumah Yatim Tuaran serta ahli-ahli keluarga Persatuan Cina Muslim (MACMA) Sabah.