"Pembentangan saya diputar belit untuk memudarat imej Perdana Menteri" - Dr Rajah Rasiah

Bernama
Oktober 16, 2023 16:23 MYT
Rajah berkata tindakan pihak terbabit merupakan sebahagian daripada usaha memutarbelitkan pembentangannya mengenai Belanjawan 2024 baru-baru ini dan menjejaskan imej Perdana Menteri. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Anggota badan penasihat khas kepada Menteri Kewangan, Datuk Prof Ulung Dr Rajah Rasiah menjelaskan namanya telah digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memudaratkan imej Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap menerusi akaun Facebook SELANGORfm 100.9 pada Isnin, beliau berkata tindakan pihak terbabit merupakan sebahagian daripada usaha memutarbelitkan pembentangannya mengenai Belanjawan 2024 baru-baru ini dan menjejaskan imej Perdana Menteri.
"Baru-baru nama saya digunakan untuk mengkritik Perdana Menteri. Saya ingin menekankan bahawa saya sama sekali tidak menerima tafsiran sebegitu.
"Saya lihat itu adalah sebahagian usaha untuk memutarbelitkan pembentangan (belanjawan) saya demi memudaratkan imej Perdana Menteri. Saya menolak sama sekali pandangan yang tidak bertanggungjawab seperti itu," katanya yang juga Profesor Ekonomi di Universiti Malaya menerusi akaun media sosial itu.
Perdana Menteri telah membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas.
Baru-baru ini beberapa portal berita telah memetik kenyataan yang kononnya telah dibuat oleh Rajah berkenaan beberapa perkara dalam Belanjawan 2024.
Badan penasihat khas kepada Menteri Kewangan diketuai oleh Penasihat Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican.
Selain Rajah, anggota lain termasuk Pengerusi Eksekutif FVSB Sdn Bhd Datuk Ahmad Fuad Md Ali, Profesor Ekonomi Universiti Sunway Prof Dr Yeah Kim Leng dan Pengerusi Sarawak Energy Bhd Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi.
Perdana Menteri mengumumkan penubuhan dan keanggotaan badan penasihat khas itu pada 7 Feb lepas.
Ketika mengumumkan penubuhan badan penasihat khas itu, Anwar berkata kumpulan penasihat itu terdiri daripada golongan profesional serta pakar ekonomi bertanggungjawab bagi membantu menasihatinya selaku Menteri Kewangan.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2024 #media sosial #Dewan Rakyat #badan penasihat