Pembenihan awan ditumpu di tujuh lokasi sekitar Kelantan
Israr Khalid
Jun 23, 2024 15:57 MYT
Jun 23, 2024 15:57 MYT
SUBANG: Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Kelantan memberi tumpuan kepada tujuh lokaliti strategik bagi mengatasi masalah penyusutan paras air Sungai Kelantan dan kemarau berpanjangan yang merundung para pesawah di negeri itu.
Lokasi tersebut meliputi kawasan sekitar Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Dabong, Kemubu dan Manek Urai.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan, pelaksanaan OPA dijangka dapat memberi manfaat kepada hampir 3,400 pesawah yang mengusahakan penanaman padi di sawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
“OPA ini merupakan tindakan interim daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menangani isu kekurangan bekalan air untuk penanaman pagi.
“Sebelum ini, pelbagai inisiatif telah diberikan kepada pesawah meliputi bantuan pam mudah alih, pam penggalak, pembinaan telaga tiub dan sebagainya,” katanya pada sidang media sebelum menyertai operasi tersebut dengan menaiki pesawat pengangkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) C-130H di Pangkalan Udara Subang, di sini pada Ahad.
OPA kali ini dilangsungkan selama tiga hari dan telah bermula pada Jumaat yang berjaya menghasilkan hujan di zon selatan Kelantan, bagaimanapun tidak berpa berhasil di hari kedua iaitu pada Sabtu (semalam) memandangkan tiada pembentukan awan yang sesuai.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip, pembentukan awan kumulonimbus diperlukan bagi proses pembenihan awan.
“Bila awan itu mula terbentuk dan kita buat pembenihan (dengan menyembur bancuhan air garam), insya-Allah ia akan turunkan hujan dengan banyak di kawasan terbabit.
“Biasanya empat tong akan disediakan, setiap tong mengandungi 200 kilogram garam dicampur dengan 1,500 liter air, maka sejumlah 6,000 liter air garam kita bancuh untuk OPA ini.”
Begitupun, sekiranya OPA yang dilaksanakan selama tiga hari ini kurang berhasil, kerajaan siap dengan tindakan susulan jangka pendek untuk mendepani kebarangkalian tersebut.
Menjelaskan mengenai hal tersebut, Ketua Setiausaha KPKM Datuk Lokman Hakim Ali berkata antara langkah yang akan diambil adalah dengan memecahkan batu hamparan berhampiran Rumah Pam Kemubu di Kota Bharu untuk memberi laluan kepada proses penjajaran air ke pam tersebut, sekali gus meningkatkan paras air bagi operasi sedia ada di Pam Kemubu 1 dan 2.
Selain itu, telaga tiub juga akan dipasang di 280 lokasi yang dikenal pasti di sekitar kawasan sawah KADA.
“Seterusnya kita melihat kepada ‘shift piles’ atau pelaksanaan beberapa jajaran di Sungai Kelantan dengan kebenaran Kerajaan Negeri, ini menjadi antara pelan jangka pendek dan sederhana yang boleh dilaksanakan.
“Bagi penyelesaian jangka panjang, kita akan cadangkan pembinaan ampang jajar di kawasan Sungai Kelantan, dan itu akan kita kemukakan semasa Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK 13) nanti.”
Maklum Mohamad, pengeluaran beras negara akan berkurang sekitar empat peratus seandainya kelancaran proses penanaman padi di Kelantan terjejas akibat musim kemarau berpanjangan.