Pembenihan awan di Selangor dijangka Ahad atau Isnin ini - KP MetMalaysia

Bernama
September 13, 2019 16:13 MYT
Meskipun kualiti udara di ibu negara terjejas susulan jerebu, namun tidak menghalang aktiviti pelancong tempatan dan asing melawat beberapa lokasi pelancongan utama di sini, termasuk Menara Kuala Lumpur (KL). - fotoBERNAMA
Operasi pembenihan awan bagi mengurangkan kesan jerebu di Selangor dijangka dilakukan pada Ahad atau Isnin ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon.
Beliau berkata ini berikutan keadaan cuaca yang agak kering dengan kadar kelembapan dalam udara yang rendah di negeri ini hari ini dilihat kurang sesuai untuk dilakukan operasi berkenaan.
"Untuk pembenihan awan ini, kita perlukan keadaan cuaca yang sesuai. Kalau cuaca tak sesuai dan hujan, ia (pembenihan awan) tak jadi. Untuk hari ini, kita dapati memang tidak sesuai, kemungkinan pada Ahad atau Isnin ini.
"Namun, esok kita akan pantau lagi (kesesuaian keadaan cuaca) dari semasa ke semasa. Jika sesuai, mungkin esok kita akan buat pembenihan awan selagi mana cuaca itu sesuai untuk pesawat melakukan operasi tersebut," katanya kepada pemberita ketika melawat sekitar kawasan Johan Setia, di sini hari ini.
Turut sama melawat adalah Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abdul Rahman.
Di Selangor, Johan Setia, Klang merupakan kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 iaitu tahap sangat tidak sihat sejak semalam.
Mengulas lanjut, Jailan berkata antara faktor untuk menjayakan proses pembenihan awan adalah langit mesti mempunyai awan, keadaan angin yang sesuai, dan kadar kelembapan dalam udara yang mencukupi.
"Sebenarnya, untuk operasi pembenihan awan ini meliputi peralatan dan sebagainya, kita sudah sediakan dan bersiap siaga di Subang (Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang). Pasukan ini sedang tunggu 'lampu hijau' saja. Jika cuaca sesuai, kita terbang.
"Operasi bukan hanya fokus kepada kawasan Johan Setia kerana kalau memang ada awan di sini, ia lagi bagus...tapi jika ada awan di lokasi lain yang mencapai bacaan IPU tidak sihat pun kita akan buat pembenihan awan, namun ia bergantung kepada kesesuaian tempoh masa terbang dan jarak penerbangan. Paling penting adalah faktor cuaca itu sendiri," katanya.
Ditanya sama ada operasi pembenihan awan akan dilakukan di negeri-negeri lain yang turut dilanda jerebu, Jailan berkata ia pasti dilakukan sekiranya bacaan IPU melebihi 200 seperti mana prosedur operasi standard MetMalaysia namun setakat ini, tiada lokasi menunjukkan tahap berkenaan selain di Johan Setia.
Dalam pada itu, Mohtar menyeru rakyat di kawasan dilanda jerebu supaya tidak melakukan pembakaran terbuka sewenang-wenangnya dan sentiasa memakai topeng muka mengikut spesifikasi yang betul bagi mengelakkan berlakunya kesan kepada kesihatan.
Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 2 petang, bacaan IPU di Johan Setia adalah 222, Shah Alam (141), Klang (137), Banting (136), Petaling Jaya (149) dan Kuala Selangor (105).
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).
-- BERNAMA
#Banting #Jabatan Meteorologi Malaysia #jerebu #Johan Setia #Klang #MetMalaysia #pembenihan awam #penerbangan #Petaling Jaya #shah alam
;