Pembenihan awan belum berjaya tingkat paras air Empangan Muda, Bukit Merah

Bernama
Julai 30, 2024 09:46 MYT
Akmal Nasrullah ketika sidang media selepas majlis penyerahan projek pembinaan Empangan Sabo serta kerja-kerja berkaitan di daerah Yan dan Kuala Muda, Kedah Fasa 1, hari ini. - Foto Bernama
YAN: Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dilaksanakan semalam belum berjaya meningkatkan paras air di Empangan Muda di negeri ini dan Empangan Bukit Merah, Perak.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata operasi yang dilaksanakan semalam adalah permulaan dan akan diteruskan pada hari ini dan esok.
"Kalau tengok empangan itu parasnya masih tidak berubah, daripada bacaan kelmarin dengan bacaan semalam itu masih paras yang sama, tapi insya-Allah itu ikhtiar kita.
"Jadi bagaimana untuk kita pastikan bekalan air masih boleh dibekalkan, itu kena minta bantuan daripada semua pihak yang berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan projek Pembinaan Empangan Sabo serta Kerja-Kerja Berkaitan di Daerah Yan dan Kuala Muda, Kedah Fasa 1 (Reka dan Bina) di sini hari ini.
Akmal Nasrullah berkata selain Empangan Muda dan Empangan Bukit Merah, ketika ini Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang memantau keadaan di beberapa empangan termasuk enam lagi yang paras airnya berada pada tahap berjaga-jaga.
"Kita telah memberi peringatan kepada semua negeri untuk mengambil langkah-langkah mitigasi buat persiapan dan bagaimana untuk mengelakkan daripada perkara ini bertambah serius.
"Sebab kalau ikut jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia sendiri mengatakan ada kemungkinan kering ini hingga September. Jadi itu memang kita kena berwaspada atau bersiap sedia," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah Mohamad Yusoff@Munir Zakaria berkata jumlah takungan air di Empangan Beris di Sik dijangka mampu menampung keperluan domestik di negeri ini dan Pulau Pinang hingga September.
"Empangan Beris ialah kawasan simpanan rizab air mentah yang akan digunakan pada waktu-waktu kritikal seperti ini kerana jika tidak dilepaskan bukan sahaja bekalan air ke Pulau Pinang terjejas, tetapi juga Syarikat Air Darul Aman (SADA) sendiri tidak boleh salurkan air kepada pengguna di negeri ini.
"Apa-apa pun kita mengharapkan penggunaan yang berhemah oleh orang ramai agar bekalan sedia ada dapat terus menampung permintaan pengguna sehingga paras empangan kembali stabil," katanya.
-- BERNAMA
#operasi pembenihan awan #Akmal Nasrullah Mohd Nasir #Empangan Muda #Empangan Bukit Merah #bekalan air