Pembelian pesawat MPA, TUDM tunggu keputusan MoF - Panglima Tentera Udara
Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 23, 2022 11:58 MYT
Mac 23, 2022 11:58 MYT
KUALA LUMPUR: Proses perolehan membabitkan beberapa Pesawat Peronda Maritim (MPA) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang baharu akan diputuskan oleh Kementerian Kewangan (MoF) selepas cadangan tersebut dikemukakan Lembaga Perolehan Kementerian Pertahanan.
Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan ketika menjelaskan perkara itu berkata, penilaian teknikal terhadap pembelian pesawat berkenaan juga telah selesai dijalankan sepenuhnya.
“Sekarang masih lagi di peringkat MoF untuk mereka membuat sebarang keputusan mengenai perkara ini.
"Lembaga Perolehan pun sudah lengkap dan kita menunggu keputusan MoF,” jelasnya pada sidang media pada Rabu.
Bagaimanapun, tambahnya, TUDM tidak akan mendedahkan jumlah syarikat yang telah disenaraikan setakat ini.
“Proses seterusnya (selepas kelulusan MoF) adalah melakukan penilaian secara fizikal.
"Jadi semua yang telah disenarai pendek itu kita akan hantar pasukan untuk melakukan penilaian teknikal dan penilaian sepenuhnya nanti,” katanya.
Sementara itu, katanya, proses pembelian helikopter yang akan digunakan oleh TUDM pada masa akan datang juga masih berjalan.
Ia bagi menambah baik segala aset-aset milik TUDM dalam memperkasakan keupayaan sedia ada ketika ini.