Pembelian MASwings oleh Kerajaan Sarawak dimuktamad 12 Feb

Fadilah Sulaiman
Februari 7, 2025 06:30 MYT
Abang Johari ketika menghadiri Majlis Makan Malam sempena Tahun Baharu Cina anjuran Sarawak Multimedia Authority (SMA). - Foto BERNAMA
KUCHING: Majlis Menandatangan Perjanjian Jual Beli syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd di antara Kerajaan Sarawak dengan Malaysian Aviation Group (MAG) akan berlangsung pada 12 Februari ini.
Maklumat tersebut dikongsikan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika berucap pada Majlis Makan Malam Borneo Cross Border Cyclyng Tour 2025 di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditanya di majlis berasingan pada malam Jumaat mengenai perkongsian tersebut berkata: "tunggu 12 hari bulan," untuk beliau mengulas lanjut.
Terdahulu, proses tersebut sepatutnya dimuktamadkan pada 31 Disember 2024 namun kedua-dua pihak perlu menggunakan khidmat penilai ketiga bagi menentukan nilai aset pengambilalihan syarikat berkenaan termasuk aspek pengendalian darat di lapangan terbang terbabit di Sarawak.
Sementara itu, Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka akan mengumumkan nama baharu MASwings selepas proses pengambilalihan selesai dengan rasmi.
Sarawak telah menyatakan hasrat untuk menubuhkan syarikat penerbangannya sendiri bagi membuka lebih banyak laluan penerbangan terus wilayah ini ke pelbagai destinasi antarabangsa termasuk Jepun, Korea dan Jerman di samping menstabilkan harga tiket penerbangan di antara Borneo dan Semenanjung.
#MASWings #Kerajaan Sarawak #MAG #Abang Johari Tun Openg
;