Pembelian enam juta dos vaksin bukti komitmen PM tangani COVID-19 - KKM
Bernama
Ogos 22, 2021 21:47 MYT
Ogos 22, 2021 21:47 MYT
KUALA LUMPUR: Pembelian tambahan enam juta dos vaksin COVID-19 membuktikan komitmen dan keprihatinan berterusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam memastikan kerajaan mencari jalan keluar melawan pandemik itu.
Menyambut baik pengumuman Perdana Menteri itu, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata, pembelian dos vaksin tersebut akan memperluas liputan program vaksinasi sedia ada kepada segenap lapisan masyarakat.
"Dari segi pecahan keseluruhan, sehingga hari ini, sejumlah 53.4 peratus individu dewasa lengkap divaksinasi dengan dua dos. Seluruh keluarga KKM akan terus memberikan komitmen dan fokus terhadap tanggungjawab bagi menangani pandemik ini dengan jayanya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi ucapan sulung sebagai Perdana Menteri hari ini, Ismail Sabri mengumumkan pembelian tambahan enam juta dos vaksin COVID-19 itu yang akan diterima menjelang awal bulan depan.
Beliau berkata usaha itu untuk memangkin kejayaan pengurangan kes harian secara konsisten seperti di Labuan yang sudah mencapai 90 peratus imuniti kelompok dewasa. - BERNAMA