Pembeli rumah 'tunggu dan lihat' sewaktu PRU14

Firdaus Azil
Oktober 11, 2018 14:03 MYT
Kediaman siap dibina tidak terjual dan ruang komersil tidak berpenghuni, merupakan isu penting yang perlu ditangani semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan dan pemaju hartanah. - Gambar fail
Sentimen berjaga-jaga dalam kalangan pembeli rumah menjelang Pilihan Raya Umum lepas, antara faktor penurunan transaksi pada separuh masa pertama tahun ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Negara, Sr. Nordin Daharom.
Beliau berkata, bagaimanapun, peningkatan transaksi ke atas hartanah jenis itu dijangka berlaku separuh masa kedua tahun ini.
Nordin berkata demikian kepada sidang media ketika diminta mengulas lanjut mengenai punca sebenar transaksi pembelian harta kediaman, seperti yang terkandung dalam laporan Pasaran Awal Harta Tanah 2018.
Terdahulu, ketika membentangkan laporan itu di Institut Penilaian Negara (INSPENS) di Kajang hari ini, beliau berkata, pasaran harta tanah mencatatkan penurunan pada separuh masa pertama 2018, iaitu sebanyak 2.4peratus, manakala nilai transaksi turun 0.1peratus.
“Bilangan transaksi yang dicatatkan tahun ini ialah 149,889, dengan jumlah bernilai RM67.74 bilion, berbanding 153,526 transaksi bernilai RM67.83 bilion untuk tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.
Nordin berkata, terdapat aliran bercampur-campur pada indikator permintaan harga kediaman dan harta bukan kediaman.
“Jumlah pinjaman yang dipohon untuk pembelian harta kediaman menurun sebanyak 3.1 peratus berbanding seperti separuh tahun pertama 2017, manakala kelulusan pinjaman jatuh 0.2 peratus.
“Situasi berbeza pula terjadi kepada harta bukan kediaman di mana pinjaman yang dipohon dan diluluskan menunjukkan peningkatan masing-masing sebanyak 14.2 peratus dan 6.6 peratus,” jelasnya lagi.
Bilangan pelancaran baharu, kata Nordin, menurun sebanyak 7.1 peratus, iaitu sebanyak 32,723 unit berbanding 40,615 unit separuh tahun pertama 2017, manakala prestasi kadar jualan dicatat rendah pada kadar 19.2 peratus untuk H1 2018, berbanding 22.4 peratus pada tempoh sama tahun lepas.
“Serapan pasar yang perlahan membawa kepada peningkatan kediaman siap dibina tidak terjual berjumlah 22,227 unit bernilai RM17.24 bilion.
“Kondominium/pangsapuri merupakan unit siap dibina yang paling banyak tidak terjual, berharga antara RM500,000 hingga RM1,000,000,” katanya lagi.
Menuju ke hadapan, Nordin berkata, kediaman siap dibina tidak terjual dan ruang komersil tidak berpenghuni, merupakan isu penting yang perlu ditangani semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan dan pemaju hartanah.
“Kedua-dua pihak perlu buat kajian sewajarnya sebelum membuat pembangunan baharu bagi mengelakkan situasi lebihan penawaran,” jelasnya.
Selain itu, Nordin berkata, kerajaan, terutamanya Kementerian Perumahan dan Kajian Tempatan dicadang mewujudkan jawatankuasa kawalan kos dan harga rumah untuk memantau serta mengawal harga hartanah itu.
#JPPH #Kajang #kerajaan #Laporan Harta #MOF #nilai #pilihan raya #pilihan raya umum #PRU14 #sentimen
;