Pembeli akan mengambil masa terima cukai gula

Amirah Shariffudin
Jun 25, 2019 04:30 MYT
Pengarah urusan Nielsen Malaysia, Luca De Nard berkata pada awal fasa kadar pembelian produk mungkin berkurangan tetapi kembali normal seperti di kebanyakan negara lain yang sudah melaksanakan seperti Mexico. - Freeimages.com
Pelaksanaan cukai gula ke atas minuman bergula bermula 1 Julai ini dijangka memberikan impak kepada perniagaan berasaskan produk bergula.
Walaupun ada pembeli yang setia membeli produk bergula, namun kadar pembelian dijangka berkurangan.
Menurut pengarah urusan Nielsen Malaysia, Luca De Nard, pada awal fasa, kadar pembelian produk mungkin berkurangan tetapi kembali normal seperti di kebanyakan negara lain yang sudahpun melaksanakannya seperti Mexico.
"Reaksi (orang Mexico) sudah tentu untuk berhenti atau mengurangkan penggunaan pada mulanya. Selepas dua tahun tahap penggunaan kembali kepada tahap pra-cukai," katanya.
Cukai itu bukan sahaja akan memberi impak kepada pembeli tetapi pengilang juga akan cuba untuk menyesuaikan diri dengan perubahan itu.
"Oleh kerana pengeluar sudah mengetahui mereka akan mula menyesuaikan diri. Kami dapat melihat fokus pada inovasi dan kita dapat melihat produk gula rendah yang masuk di pasaran.
"Jadi produk-produk seperti ini akan mendapat pendedahan," ujarnya lagi.
Cukai eksais 40 sen seliter ke atas minuman bergula yang sepatutnya mula dilaksanakan pada 1 April 2019 ditangguhkan kepada 1 Julai 2019.
Semasa membentangkan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan cukai gula akan dikenakan ke atas minuman yang mengandungi gula melebihi lima gram bagi setiap 100 mililiter, begitu juga jus yang mengandungi lebih 12 gram gula bagi setiap 100 mililiter.
#cukai gula #impak #luca de nard #Malaysia #pembeli
;