Pembela Palestin perlu duduk semeja - Tun M
Harits Asyraf Hasnan
September 28, 2019 18:08 MYT
September 28, 2019 18:08 MYT
Kesatuan negara Islam serta pihak yang menentang kekejaman Israel terhadap Palestin perlu duduk bersama dan mencari strategi terbaik bagi memastikan rakyat Palestin dapat kembali ke tanah mereka.
Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika ini, pihak yang menentang Israel tidak mempunyai strategi dalam memastikan kemenangan menentang Israel.
“Saya dapati rakyat Palestin dan secara umum mereka yang menentang Israel tidak mempunyai strategi untuk menang.
"Kebanyakkan kita yang marah dengan situasi yang berlaku ketika ini meluahkan rasa marah mereka dengan melakukan tindakan yang tidak menyumbang kepada penyelesaian masalah.
“Saya fikir tiba masa untuk kita duduk dan merancang kempen untuk mendapatkan semula Palestin bagi rakyat Palestin atau sekurang-kurangnya mereka boleh kembali ke Palestin dan menuntut hak mereka,” katanya pada sidang media bersama media antarabangsa di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.
Beliau sebelum itu menyampaikan ucapan pada debat umum Perhimpunan Agung PBB.
Kata Perdana Menteri, strategi dan kempen yang betul perlu dilakukan untuk mendapatkan lebih banyak pihak membantah tindakan kejam Israel itu.
Namun, katanya wujud segelintir pihak yang melakukan tindakan semberono hingga menyebabkan wujud pihak yang membenci perjuangan membela Israel.