Pembekuan permohonan kuota pekerja asing diteruskan - Saifuddin Nasution

Bernama
Oktober 21, 2024 12:20 MYT
Jumlah pekerja asing dalam negara setakat 15 Sept lepas didapati menghampiri jumlah siling yang ditetapkan. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing diteruskan sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata hal ini memandangkan jumlah pekerja asing dalam negara setakat 15 Sept lepas didapati menghampiri jumlah siling yang ditetapkan.
Saifuddin Nasution berkata jumlah pekerja asing dalam negara dipandu oleh ketetapan Kementerian Ekonomi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu sebanyak 15 peratus daripada keseluruhan guna tenaga kerja dalam negara.
"Kerajaan akan meneliti dan membuat pertimbangan semula berhubung ketetapan pembukaan kuota penggajian pekerja asing.
"Maka, dimaklumkan bahawa pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing adalah diteruskan sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tempoh pendaftaran Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0, katanya telah tamat pada 31 Dis 2023 dan kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk melaksanakan program pemutihan baharu pada masa akan datang.
-- BERNAMA
#kuota pekerja asing #KDN #Saifuddin Nasution #beku pengambilan pekerja asing
;