Pembekuan pengambilan pekerja asing dilanjutkan - Saifuddin

Astro Awani
Januari 31, 2024 20:13 MYT
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA : Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan pembekuan pengambilan pekerja asing yang mula dilaksanakan Mac tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jumlah pekerja asing yang terbabit dengan program rekalibrasi dengan kuota yang diluluskan telah mampu menampung keperluan.
Jelas beliau, keputusan mengenai berapa lama pembekuan itu dilanjutkan akan ditentukan oleh pihaknya dan Kementerian Sumber Manusia dalam masa terdekat.
"Keputusan dibuat selepas mengambil kira jumlah pekerja asing yang terbabit dengan program rekalibrasi dengan kuota yang diluluskan telah mampu menampung keperluan.
"Berapa lama ia akan dibekukan, pentadbiran akan putuskan, tetapi di peringkat kabinet perlu persetujuan kalau ada cadangan.
"Dari segi tarikh, KDN akan bincang dengan Kementerian Sumber Manusia kerana ia di peringkat pengurusan dan kita akan war-warkan nanti," katanya pada sidang media khas KDN pada Rabu.
Pada Mac tahun lalu kerajaan membuat keputusan menghentikan semua permohonan dan kelulusan untuk kuota pekerja asing.
Saifuddin Nasution juga berkata, kerajaan telah bersetuju untuk mewujudkan one stop centre berkaitan pekerja asing dan ia di bawah selian KDN.
#Saifuddin Nasution #KDN #kouta #pekerja asing #permit #rekalibrasi #Keperluan #tenaga kerja
;