Pembekalan air graviti di Tawau akan dipertimbangkan - Menteri
Ruzaini Zulkepli
Jun 6, 2018 12:00 MYT
Jun 6, 2018 12:00 MYT
Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah akan cuba mengatasi isu bekalan air di Tawau dari segi kekuatan pengagihan peruntukan dan kaedah pembekalan air graviti.
Menterinya, Datuk Peter Anthony berkata, kaedah pembekalan air graviti dilihat sebagai antara inisiaitif terbaik untuk jangka pendek dalam usaha mengatasi masalah bekalan air di Tawau.
Jelasnya, bekalan air di daerah itu dilaporkan kurang sebanyak lima hingga 10 peratus bagi menampung keperluan harian penduduk dan kementeriannya dijangka melaksanakan kaedah segera untuk mengatasinya.
"Kita akan mempertimbangkan cadangan daripada orang kampung dan sekitar penduduk di sini tentang keperluan penggunaan air graviti seperti yang dilaksanakan di Tenom.
"Ketika ini pun, ada juga sesetengah keluarga yang tidak mampu membayar bil air, jadi kita akan bincang di peringkat kementerian sebelum kita angkat ke peringkat Kabinet," katanya selepas melawat projek empangan dan loji air Cinta Mata dekat sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Peter turut mendedahkan terdapat kepincangan daripada sudut projek yang membabitkan peruntukan besar di mana ianya perlu kajian semula dalam usaha mengelakkan beban hutang yang besar.
Tambahnya, kementerian juga akan memperkenalkan kaedah pemantauan semua aset kementerian, khususnya sistem dan mesin kumbahan di seluruh Sabah untuk mengatasi masalah teknikal termasuk kecurian peralatan seperti perkakasan elektrik.
"Kita akan pertimbangkan kesesuaian dan kekuatan peruntukan yang ada di peringkat negeri kerana ia melibatkan jumlah yang begitu besar. Pada ketika ini, di peringkat kementerian, seperi mana yang saya dimaklumkan, terlalu banyak projek yang kita laksanakan berdasarkan hutang.
"Jadi projek-projek ini terpaksa kita meminta pinjaman, loan, hutang dan sebagainya. Di bawah kerajaan baharu, kita terpaksa mengambil satu kaedah bagaimana kita untuk menyelesaikan atau mengurangkan bebanan hutang kerajaan negeri ini," tambahnya.