Pembekalan air bersih di Kedah seperti biasa - SPAN
Bernama
Mei 23, 2023 21:08 MYT
Mei 23, 2023 21:08 MYT
PUTRAJAYA: Situasi pembekalan air bersih di Kedah secara amnya masih beroperasi seperti biasa, kata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini.
SPAN dalam kenyataan berkata delegasi SPAN termasuk Pengerusi Charles Santiago dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman telah melakukan lawatan tapak ke Kedah dan Pulau Pinang pada 18 dan 19 Mei lepas bagi meninjau situasi bekalan air rentetan laporan penyusutan paras empangan dan persediaan menghadapi fenomena El-Nino.
"Secara amnya, situasi pembekalan air bersih masih beroperasi sebagaimana biasa namun tindakan mitigasi telah dan sedang diambil oleh setiap agensi berkaitan," kata SPAN mengenai tinjauan delegasi SPAN di Kedah.
Menurut SPAN, lawatan turut meninjau ke lokasi bendungan dan mendapati pemulihan bekalan telah mencapai 100 peratus bagi semua kawasan yang terjejas sebelum ini dan perkhidmatan kembali pulih seperti biasa.
Di Pulau Pinang pula, tinjauan delegasi SPAN mendapati keadaan paras air di Empangan Air Itam rendah dengan bacaan paras semasa empangan ketika lawatan adalah pada 41.5 peratus manakala Empangan Teluk Bahang pula pada paras 45.7 peratus.
SPAN berkata hujan di Pulau Pinang dijangka membantu meningkatkan paras empangan dengan ramalan hujan berterusan sehingga Ahad.
SPAN berkata lawatan juga mendapati penurunan paras air sungai secara mendadak di Sungai Muda, Kedah yang berlaku pada 14 Mei lepas (2023) adalah terkawal, dengan bekalan air bersih dilaporkan telah pulih sepenuhnya pada 18 Mei lepas di Pulau Pinang dan Kedah pagi tadi.
-- BERNAMA