Pembekal produk sanitasi tidak patuh SPPCA bakal dikompaun
Bernama
November 18, 2017 07:00 MYT
November 18, 2017 07:00 MYT
Pembekal produk sanitasi seperti pili air, pancuran mandi dan mesin basuh yang tidak memiliki penarafan Skim Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA) boleh berdepan tindakan kompaun sehingga RM50,000 mulai 2019.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Mohd Ridhuan Ismail berkata perkara itu telah diusulkan kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) namun masih menunggu kelulusan.
Beliau bercakap kepada pemberita pada Sabtu selepas melancarkan kempen SPPCA bagi bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menggunakan produk cekap air di sebuah pusat beli-belah di sini..
Laporan media pada 13 Nov lalu menyebut produk seumpama itu diwajibkan memiliki penarafan SPPCA sebelum boleh dipasarkan bermula 2019.
Buat masa ini dua produk iaitu tangki simbah tandas dan injap simbah urinal telah diwajibkan memiliki penarafan SPPCA bagi projek pembangunan baharu bermula 2014.
Mohd Ridhuan berkata SPAN akan bekerjasama dengan Jabatan Kastam untuk mengawal piawaian produk import yang dibekalkan ke negara ini. -- BERNAMA
#air
#Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air
#kompaun
#Mohd Ridhuan Ismail
#penarafan
#sanitasi
#Skim Pelabelan Produk Cekap Air
#SPAN
#SPPCA
#Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara
#tandas