Pembedahan kembar siam: YDP Agong, Permaisuri zahir ucapan tahniah

Astro Awani
Mac 20, 2022 16:32 MYT
Seri Paduka Baginda berdua pada masa sama turut mendoakan agar pasangan bayi kembar siam tersebut berada dalam keadaan yang baik dan segera pulih. - Foto Istana Negara
KUALA LUMPUR: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur atas kejayaan pasukan pembedahannya melakukan pembedahan pemisahan pasangan kembar siam pertama di Malaysia.
Menerusi perkongsian media sosial Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan pasukan pembedahan HTA itu yang sekali gus turut mencipta sejarah sebagai pembedahan pertama seumpamanya di Malaysia.
"Pembedahan pasangan kembar yang berusia 17 hari tersebut diketuai Datuk Dr Zakaria Zahari dan melibatkan 13 doktor pakar, termasuk enam pakar bedah kanak-kanak dari seluruh negara, berserta hampir 20 jururawat dan staf dewan bedah kanak-kanak.
"Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa syukur apabila pasangan bayi kembar siam jenis Omphalophagus tersebut berjaya dipisahkan tanpa komplikasi," memetik kenyataan itu.
Seri Paduka Baginda berdua pada masa sama turut mendoakan agar pasangan bayi kembar siam tersebut berada dalam keadaan yang baik dan segera pulih serta dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.
#Yang di-Pertuan Agong #Hospital Tunku Azizah #pembedahan kembar siam #ucapan tahniah Agong
;