Pembayaran ketiga BR1M 2016 diawalkan 15 Jun sempena Aidilfitri

Astro Awani
Jun 10, 2016 15:35 MYT
Kerajaan berharap dengan pemberian BR1M ini dapat membantu rakyat membeli barangan keperluan dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti. - Gambar fail
Sempena menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 6 Julai 2016, Kerajaan telah bersetuju agar pembayaran peringkat ketiga Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2016 diawalkan mulai 15 Jun 2016 (Rabu).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata Kerajaan berharap dengan pemberian BR1M ini dapat membantu rakyat membeli barangan keperluan dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Pembayaran BR1M akan dikreditkan terus ke akaun penerima masing-masing. Bagi mereka yang tiada nombor akaun, surat kelulusan akan diposkan terus ke alamat penerima dan seterusnya boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional yang berhampiran,” menurutnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Melalui pengumuman Bajet 2016, Kerajaan telah memutuskan pemberian BR1M pada tahun ini diagihkan kepada 4 peringkat. Bayaran peringkat pertama telah diagihkan pada 28 Januari 2016 dan peringkat kedua pada 28 April 2016.
Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88- 2716 serta email kepada: br1m@treasury.gov.my
#Ahmad Husni Hanadzlah #Bantuan Rakyat 1Malaysia #BR1M #Kementerian Kewangan #Najib Razak
;