Pembayaran gaji minimum RM1,500 mampu tingkat kesejahteraan hidup pekerja
Bernama
Julai 2, 2023 08:00 MYT
Julai 2, 2023 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pembayaran gaji minimum RM1,500 kepada pekerja di semua sektor termasuk majikan yang mempunyai kurang lima pekerja bermula hari ini dilihat mampu meningkatkan lagi kesejahteraan hidup pekerja sekali gus dapat membantu menangani beban kewangan yang dihadapi mereka.
Di KUALA LUMPUR, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM) Dr Roza Hazli Zakaria berkata dengan kenaikan tersebut, ia juga mampu meningkatkan lagi produktiviti golongan pekerja.
"Mereka juga mungkin mendapat motivasi yang lebih bila gaji mereka meningkat. Untuk golongan yang berpendapatan kecil, kenaikan yang sedikit ini mempunyai nilai yang besar dan bermakna kepada mereka.
"Pembayaran gaji minimum juga mampu meningkatkan kualiti kehidupan pekerja seperti mengatasi masalah kualiti makanan dengan membolehkan mereka membeli makanan yang lebih berkhasiat berbanding sebelum ini," katanya kepada Bernama.
Pada 27 Dis lepas, Menteri Sumber Manusia V.Sivakumar berkata penguatkuasaan Perintah Gaji Minimum (PGM) bagi majikan yang menggajikan kurang lima pekerja ditangguhkan dari 1 Jan 2023 kepada 1 Julai 2023.
Bagi seorang pekerja kedai makan, Nur Syazanna Mohd Fadzil, 29, kenaikan gaji sebanyak RM300 itu secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan pendapatan isi rumah dalam mendepani cabaran peningkatan kos sara hidup di Lembah Klang.
"Kenaikan RM300 ini saya akan gunakan untuk membeli barangan keperluan anak-anak sebab sebelum ini gaji kami suami isteri hanya cukup-cukup makan," katanya yang mempunyai dua anak perempuan berusia tiga dan tujuh tahun.
Di PERAK, pekerja kedai kosmetik, Nor Shakila Fatihah Mohd Amri, 21, pula menyifatkan walaupun nilainya sedikit, dalam keadaan kos sara hidup semasa, ia amat membantu dirinya serta golongan B40.
"Pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 itu perlu memandangkan gaji saya ketika ini selepas tolak EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) terdapat kurang dari RM1,170. Saya perlu mengutamakan komitmen dan perlu meneruskan kehidupan dengan wang yang berbaki itu selama sebulan," katanya.
Memahami keperitan ditanggung pekerja terutama mereka yang berkeluarga, pemilik premis mencuci kenderaan, Khairul Nizam Mat Ludin, 41, berkata kesemua lima pekerjanya telah dibayar gaji minimum RM1,500 sejak beberapa bulan lepas.
"Saya melaksanakan pembayaran gaji sebanyak RM1,500 berbanding RM1,200 sebelum ini apabila kerajaan menyarankannya. Ia patut berikutan kos hidup yang tinggi pada masa ini malah ada pekerja yang mempunyai pelbagai komitmen terutama yang berkeluarga," katanya.
Di PAHANG, pemilik kedai makanan di Kuantan, Diana Surya Abd Wahab, 42, berkata beliau mengambil pendekatan 'menang-menang' dengan menggajikan tiga pekerjanya secara harian iaitu RM60 sehari bagi memenuhi ketetapan kerajaan bagi pembayaran gaji minimum RM1,500.
"Keadaan perniagaan saya tidak begitu baik sekarang, jadi saya terpaksa bayar mereka gaji secara harian... kalau mereka bekerja lebih 25 hari sebulan memang dapat RM1,500," katanya.
Di MELAKA, pekerja kedai emas, Nur Anis Ilyasa Norri Djaya, 23, dari Durian Tunggal, Alor Gajah berkata pelaksanaan gaji minimum RM1,500 selain memberi kelegaan juga memberi penanda aras baharu gaji kepada golongan pekerja terutama golongan muda yang baharu memulakan kerjaya.
"Selepas gaji ditolak untuk simpanan KWSP dan skim perlindungan Perkeso, kadang-kadang gaji diterima saya kurang daripada RM1,000 sebulan, namun kini, saya sekurang-kurangnya memperoleh RM1,300 sebulan selepas ditolak KWSP dan Perkeso dan jika ditambah dengan komisen diterima, saya boleh dapat antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan," katanya.
Sementara itu, di PULAU PINANG, pekerja kedai runcit, Fahmi Idris Mohd Noor, 25, berkata peningkatan gaji sudah pasti menggembirakannya selepas sebelum ini hanya menerima gaji RM1,200.
"Dalam keadaan sekarang, peningkatan itu sudah tentu menggembirakan kami yang masih dengan gaji lama dan majikan juga ada memaklumkan tentang kenaikan gaji kami," katanya yang merancang untuk menyimpan lebihan gajinya.
-- BERNAMA