Pembayaran dividen tinggi KWSP tiada kaitan pilihan raya - Salleh
Bernama
Februari 11, 2018 04:25 MYT
Februari 11, 2018 04:25 MYT
Pembayaran dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tertinggi sejak sekian lama tiada kaitan dengan pilihan raya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Beliau berkata tindakan pembangkang yang segera menggunakan isu itu dengan mengaitkan kadar pembayaran KWSP sebagai "dividen tahun pilihan raya" juga sudah dijangka.
"Sebenarnya, pembayaran dividen KWSP ini meningkat secara beransur-ansur sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan bukan hanya pada tahun ini.
"Pada 2014 dan 2015, KWSP mengisytiharkan dividen lebih tinggi berbanding 2013, yang juga merupakan tahun pilihan raya. Jadi ia tidak ada kaitan dengan pilihan raya," jelas Salleh menerusi catatan di laman blog beliau, malam tadi.
Beliau berkata sekiranya KWSP mengumumkan dividen yang sangat rendah tahun ini, pembangkang akan menggunakan perkara itu sebagai bukti bahawa ekonomi sedang dalam keadaan buruk dan negara akan bankrap.
"Mantra 'Malaysia akan bankrap' dicanangkan selama bertahun-tahun tetapi apa yang berlaku sebenarnya adalah pertumbuhan ekonomi bertambah kukuh. Mengikut laporan ekonomi negara-negara lain, Malaysia dinilai antara terbaik di rantau ini," katanya.
Salleh berkata ahli ekonomi asing juga meramalkan pertumbuhan yang tinggi untuk Malaysia.
"Rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara untuk bercuti juga meningkat setiap tahun berdasarkan statistik dikumpulkan. Lebih 26 juta pelancong asing juga datang ke Malaysia pada 2016 dan ini dijangka meningkat kepada 30 juta menjelang 2020.
"Ini bukan petanda negara dalam masalah," tegasnya. -- Bernama