Pembatalan dan penangguhan peperiksaan umum tepat demi keselamatan pelajar

Astro Awani
April 16, 2020 17:46 MYT
Ahmad berkata keputusan kerajaan signifikan dan responsif dengan keadaan semasa. Gambar fail.
Langkah pembatalan dan penangguhan peperiksaan umum di Malaysia seperti yang diumumkan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin pada Rabu, disifatkan sebagai tindakan yang tepat.
Demikian menurut Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Ahmad Malie, yang menganggap langkah itu sebagai signifikan dan responsif dengan mengambil kira cabaran dihadapi pelajar ketika menghadapi masa sukar ini.
Jelasnya, isu sama ada kualiti pendidikan terjejas, tidak relevan bagi dua peperiksaan iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tahap Tiga (PT3) kerana penilaiannya dilakukan di peringkat sekolah.
“Ia membawa satu senario baharu di mana murid-murid akan dapat mengikuti pembelajaran mereka dengan lebih selesa, lebih menyeronokkan sesuai dengan konsep pendidikan didik hibur yang ditekankan dalam pengajaran dan pembelajaran terkini,” katanya.
Selain itu, penangguhan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pula dilihat dapat memberi ruang kepada pelajar untuk menyesuaikan diri selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ujar Ahmad Malie, para guru juga dapat melakukan persediaan bagi sesi pengajaran dan pembelajaran yang akan datang.
Dalam pada itu, keputusan tersebut tidak kurang juga mengundang pelbagai reaksi mereka yang terkesan.
Bagi pelajar Tingkatan Lima, Awang Syamir Khairi Awang Kederi, penangguhan peperiksaan tersebut dapat memberi ruang buatnya menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran secara dalam talian seperti yang digunakan sekarang
“Bagi saya, ia keputusan yang baik sebenarnya. Disebabkan keadaan COVID-19, walaupun terdapat kelas dalam talian, tetapi apabila mempunyai soalan kepada guru, agak susah bagi saya untuk bertanya. Jadi apa yang dilakukan kerajaan adalah betul,” kongsinya bersama Astro AWANI.
Bagi guru SMK Bawang Assan, Jara Anak Enchor, pembelajaran di rumah ada kebaikan dan kekurangannya tersendiri.
“Pelajar rasa tertekan untuk membuat ulang kaji kerana mereka susah untuk mengejar silibus atau sukatan pelajaran di samping banyak lagi kerja kursus atau tugasan yang perlu mereka siapkan sebelum PT3,” jelasnya.
Namun beliau akur pada masa ini, keselamatan pelajar menjadi keutamaan kerajaan.
#Ahmad Malie #AWANI Sarawak #Kementerian Pendidikan Malaysia #KGBS #KPM #Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak #PT3 #Sarawak #SPM #STPM #UPSR
;