Pembantu tukang masak mengaku tidak bersalah sebabkan kematian majikan

Bernama
Februari 16, 2023 15:14 MYT
Seksyen 304A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. - Gambar hiasan
ALOR SETAR: Seorang pembantu tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian secara tidak sengaja majikannya pada 4 Februari lepas.
Azahari Hamid, 56, didakwa melakukan perbuatan gopoh hingga menyebabkan kematian Ishak Othman, 69, di belakang Restoran Cabai, Jalan Stadium di sini pada pukul 5.15 petang, 4 Februari lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mac untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nasruna Anhar Nordien manakala tertuduh diwakili Peguam Pyara Singh.
-- BERNAMA
#tukang masak #majikan maut #mahkamah #Kanun Keseksaan
;