Pembantu tukang jahit didenda RM4,000 hina Agong
Sinar Harian
Februari 4, 2025 13:13 MYT
Februari 4, 2025 13:13 MYT
JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukukan denda terhadap pembantu tukang jahit RM4,000 kerana menulis komen yang menghasut bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong pada Disember lalu.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail turut memerintahkan tertuduh, Norli Mohamed Yusof, 53, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menerbitkan hantaran melalui akaun Facebook Nori Norli dengan kata-kata menghasut bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Kesalahan itu dilakukan di Bandar Seri Alam di sini kira-kira jam 2 petang pada 11 Disember 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-keduanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, seorang pengadu telah melihat satu posting bergambar di sebuah akaun Facebook yang menunjukkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersama Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang makan tengah hari di sebuah restoran asam pedas popular.
Pengadu melihat pemilik akaun Facebook Nori Norli iaitu tertuduh telah memuat naik komen yang berunsur dan mempunyai kecenderungan menghasut terhadap Yang di-Pertuan Agong sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Seri Alam.
Semakan dan risikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati akaun Facebook Nori Norli didaftarkan di nombor telefon anak perempuan tertuduh.
Siasatan terhadap anak tertuduh mengesahkan bahawa akaun Facebook Nori Norli itu dimiliki dan dikendalikan ibunya yang juga tertuduh kes berkenaan.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Abdul Latif dan Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi dan P Rajagunaseelan.
Sebelum itu, peguam memohon tertuduh dikenakan denda yang minimum memandangkan tertuduh tidak bekerja tetap.
"Beliau bekerja sebagai pembantu tukang jahit dengan gaji antara RM400 hingga RM500 sebulan, manakala suaminya pembantu gerai dengan gaji antara RM800 hingga RM1,000 sebulan,"katanya.
Bagaimanapun, Pengarah Pendakwaan Negeri Johor memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan dilakukan tertuduh amat serius.
"Kesalahan ini membabitkan kata-kata hinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang juga Sultan Johor, oleh itu hukuman setimpal adalah perlu supaya jadi pengajaran kepada pengguna media sosial yang lain supaya lebih berhati-hati dan berhemah menggunakan platform berkenaan," katanya.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap tertuduh dan turut memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan enam bulan jika gagal membayar denda. - Sinar Harian