Pembantu tadbir pejabat tanah didakwa palsu dokumen, menipu

Bernama
Julai 10, 2024 22:32 MYT
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Alimi Mustapha. - Gambar Sinar Harian
SHAH ALAM: Seorang pembantu tadbir pejabat daerah dan tanah sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan memalsukan dokumen dan memperdaya bagi pengurusan tanah keseluruhan berjumlah RM7,260 pada 2022.
Bagaimanapun Noor Aliza Hamin, 46, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.
Bagi pertuduhan pertama, Noor Aliza didakwa menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Tuntutan Bagi Penyediaan Pelan Untuk Tujuan Pecah Tanah bagi urusan pecah tanah di daerah Sabak Bernam, Selangor milik seorang penama wanita berusia 41 tahun bernilai RM3,700 pada 30 Mei 2022.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa mengguna dan memberikan dua salinan Pembayaran Pejabat Tanah Sabak Bernam, Hasil Tanah 2022 palsu secara berasingan kepada penama wanita sama pada 28 Sept 2022.
Kesemua kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di kediamannya di daerah Sungai Besar, Selangor.
Bagi pertuduhan keempat, Noor Aliza didakwa menipu lelaki berusia 33 tahun sehingga mendorongnya menyerahkan wang RM3,560 sebagai bayaran proses kelulusan pecah bahagian tanah di sebuah bank di Sungai Besar pada 12 April 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, melaporkan diri di Pejabat SPRM Kuala Selangor dan tidak mengganggu saksi pendakwaan serta menetapkan sebutan semula kes pada 30 Julai ini.
Terdahulu Noor Aliza memohon mahkamah mengenakan jaminan sama seperti kes sebelum ini dengan alasan menanggung hutang bekas suami selain perlu menjalani pembedahan penyakit fibroid.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Alimi Mustapha.
Pada 26 Jun lepas, Noor Aliza mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM7,880 membabitkan urusan permohonan pecah bahagian tanah, dua tahun lepas.
-- BERNAMA
#Mahkamah Sesyen #SPRM #pembantu tadbir #penama wanita