Pembantu stor mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual

Sinar Harian
Disember 16, 2024 14:20 MYT
Muaz Saifullah mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki. - Foto Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Seorang pembantu stor mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun pada 30 Oktober 2024 lalu.
Muaz Saifullah, 33, membuat pengakuan itu di hadapan hakim, Siti Noraida Sulaiman selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap mangsa di dalam sebuah bilik tidur di sebuah rumah di sini antara jam 7.30 pagi hingga 6.30 petang.
Oleh itu, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang oleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan juga boleh dihukum dengan hukuman sebat.
Timbalan Pendakwaraya, Nur Farah Wahida Shahudin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin selain tiga syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan hingga kes selesai, perlu melapor diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Peguam, Mohammad Muzzamil Mohammad Hairiri bagaimanapun memohon pengurangan wang jaminan kerana tertuduh bekerja sebagai pembantu stor dengan gaji RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.
Selain itu tertuduh yang masih bujang dan tinggal bersama keluarga turut didapati tidak memiliki rekod kesalahan lampau selain tertuduh juga tidak memiliki passport antarabangsa.
Malah katanya sepanjang tempoh perbicaraan, tertuduh juga akan tinggal di Kota Tinggi.
Mahkamah kemudiannya membenarkan wang jaminan sebanyak RM15,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin serta tidak boleh berada dalam jarak 6 kilometer (KM) dengan mangsa, tidak boleh mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan hingga kes selesai dan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali.
Mahkamah turut menetapkan 28 Januari 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes. -- Sinar Harian
#pembantu stor #amang seksual #Johor Bahru #kanak-kanak lelaki
;