Pembantu rumah warga Thailand ke tali gantung edar Methamphetamine
Bernama
Disember 22, 2014 14:07 MYT
Disember 22, 2014 14:07 MYT
Seorang pembantu rumah warga Thailand dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 2.81kg, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, pada Mac tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas berpuas hati pembelaan tertuduh, Miss Duangchit Khonthokhonbari, 33, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mahkamah turut mendapati pembelaan wanita itu lebih bersifat penafian semata-mata.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Pemeriksaan, Balai Ketibaan KLIA, kira-kira 9 pagi pada 6 Mac tahun lepas.
Sembilan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazir Amin Johari manakala tertuduh diwakili peguam Chong Joo Tian.