Pembantu rumah direman empat hari bantu siasatan aniaya anak majikan
Astro Awani
Ogos 15, 2022 17:22 MYT
Ogos 15, 2022 17:22 MYT
KUALA TERENGGANU: Seorang pembantu rumah warga Indonesia direman selama empat hari bagi membantu siasatan kerana dipercayai menganiaya dua anak majikannya.
Kejadian itu berlaku disebuah taman perumahan di sini dan disedari oleh ibu mangsa sekitar pukul 3 petang pada Sabtu.
Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat pada keesokan harinya.
Suspek yang berusia 48 tahun itu dikatakan merentap dengan kuat sehingga tangan kiri salah seorang mangsa sehingga dipercayai terkehel.
Selain itu, suspek juga didakwa menyiram air ke muka mangsa secara berterusan.
Perbuatan suspek ke atas kanak-kanak yang dipercayai berusia tiga tahun dan setahun lapan bulan itu terbongkar selepas ibu keda-dua mangsa itu melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Kes itu, katanya, disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak kanak 2001.