'Pembantu rumah dilayan seperti binatang, gaji tak dibayar'
Sinar Harian
Jun 10, 2024 16:00 MYT
Jun 10, 2024 16:00 MYT
PETALING JAYA: Dikurung di balkoni setiap kali selesai tugasan dan tidak dibayar gaji antara episod malang dialami seorang pembantu rumah warga Indonesia yang menjadi mangsa penderaan majikannya sejak seminggu lalu.
Ringkasan AI
- Seorang pembantu rumah warga Indonesia didakwa didera majikannya dalam kejadian di sebuah unit kondominium dekat Mutiara Damansara.
- Mangsa didakwa dikurung di balkoni setiap kali selesai melakukan tugasan dan tidak dibayar gaji.
- Mangsa berjaya diselamatkan melalui serbuan yang dijalankan oleh Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
- Suspek wanita berumur 69 tahun dipercayai majikan mangsa telah ditahan. Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1956/63.
Bagaimanapun, derita mangsa yang dilayan seperti binatang itu berakhir apabila diselamatkan menerusi serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman kira-kira jam 5 petang Ahad.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan mendapati mangsa berumur 21 tahun itu dipercayai baru bekerja dengan majikannya sejak seminggu lalu di sebuah unit kondominium dekat Mutiara Damansara.
"Mangsa bertugas mencuci tandas sahaja dan selesai melakukan tugasan, mangsa akan dikurung semula di balkoni rumah.
"Selain itu, mangsa turut mendakwa tidak dibenarkan menyentuh apa-apa barangan dalam rumah berkenaan," katanya pada Isnin.
Katanya, mangsa turut tidak menerima gaji dan tidak tahu berapa bayaran untuk pekerjaannya itu.
"Mangsa tidak menerima gaji sejak bekerja seminggu lalu, dan tidak tahu berapa nilai gajinya.
"Selain itu, mangsa mendakwa diberikan makan dan minum sebanyak tiga kali sehari selain sentiasa dimarahi oleh majikannya itu," katanya.
Menurutnya, serbuan dijalankan turut menahan seorang wanita warga tempatan berumur 69 tahun dipercayai merupakan majikan mangsa.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1956/63,"katanya. -Sinar Harian