Pembantu rumah didera majikan susut 30 kilogram, kurang zat - Duta Besar Indonesia
Umavathi Ramayah
September 5, 2022 17:47 MYT
September 5, 2022 17:47 MYT
KUALA LUMPUR: Pembantu rumah warga Indonesia yang mendakwa diseksa majikan tanpa belas kasihan termasuk disimbah air panas sehingga badannya melecur sejak tiga tahun lalu dilaporkan mengalami penyusutan berat badan lebih 30 kilogram dipercayai akibat kekurangan zat makanan.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, ketika mangsa melapor diri sebagai pembantu rumah di rumah majikannya pada 2019, berat wanita itu adalah 78 kilogram.
"Ini bermakna mangsa menderita akibat kekurangan zat makanan akut," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Isnin.
Hermono menambah, mangsa yang masih mengalami trauma itu kini ditempatkan di sebuah pusat jagaan di bawah Kementerian Kebajian Masyarakat (JKM).
Astro AWANI sebelum ini melaporkan wanita berusia 46 tahun bukan sahaja mendakwa 'dikurung' dan dipantau ketat, malah ditampar dan dicederakan menggunakan kayu di muka sehingga mengakibatkan lebam.
Perbuatan kejam itu terbongkar apabila mangsa yang tidak tahan dengan seksaan itu akhirnya mengambil keputusan untuk lari dari rumah dan mendapatkan bantuan orang awam sebelum dibawa ke balai polis, kira-kira pukul 11 pagi Selasa lalu.
BACA: Tangguh pelaksanaan Akta Kerja, majikan perlukan masa selesaikan isu kekurangan pekerja - Saravanan
Susulan itu polis menahan majikan wanita yang berusia 35 tahun pada Khamis lalu dan perintah reman disambung tiga hari lagi bermula Isnin.
Ditanya mengenai status suami majikan wanita itu, sumber memberitahu, ia masih dalam siasatan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Insiden itu turut mendapat perhatian Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang
mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia untuk menyiasat kes berkenaan secara terperinci.
Beliau memberitahu, kerajaan tidak akan melindungi identiti mana-mana majikan yang didapati bertindak di luar batas kemanusiaan meskipun ianya masih di dalam peringkat siasatan.