Pembantu rumah diberkas curi barang kemas majikan
Sinar Harian
September 4, 2022 06:30 MYT
September 4, 2022 06:30 MYT
PETALING JAYA: Kehilangan pelbagai barangan kemas bernilai lebih RM150,000 milik seorang wanita terjawab apabila pembantu rumahnya yang merupakan warga asing diberkas dipercayai mencuri barangan kemas terbabit dalam kejadian di sebuah rumah di Kelana Jaya di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa yang berumur 40-an itu menyedari kehilangan barangan kemas miliknya kira-kira jam 7.40 malam pada Jumaat.
"Siasatan lanjut yang dijalankan membawa kepada penahanan seorang wanita warga Indonesia kira-kira jam 3 petang.
"Suspek berumur 55 tahun itu merupakan pembantu rumah sambilan di rumah mangsa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mohamad Fakhrudin berkata, soal siasat yang dijalankan kemudian membawa kepada penemuan beberapa barangan kemas di sebuah rumah di Kuala Lumpur.
"Antara yang dirampas daripada suspek adalah 12 kepingan emas pelbagai saiz dan berat, empat keping dinar emas, dua bentuk cincin dan pelbagai jenis barangan kemas.
"Suspek kini direman tiga hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," jelas beliau. -Sinar Harian