Pembantu rumah dakwa diperhamba, saman diplomat Malaysia di New York

Astro Awani
September 6, 2016 22:31 MYT
Parimaladevi mendakwa dia dilarang keluar rumah melainkan untuk menemani keluarga ke gereja - Foto AFP Relax
Seorang diplomat Malaysia dan isteri didakwa melayan pembantu rumah mereka seperti hamba dengan memintanya bekerja 15 jam sehari, lapor New York Post.
Menurut saman yang dikemukakan oleh Parimaladevi Jeganathan, juga dikenali sebagai Mala, Danish Kumar dan isteri, Tamil Arasi Krishnan turut melarangnya keluar rumah melainkan untuk menemani mereka ke gereja.
Mereka juga menakut-nakutkan Mala dengan mengatakan orang kulit hitam akan ‘melakukan sesuatu terhadapnya’, jelas saman yang difailkan di Manhattan itu.
Parimaladevi mula bekerja dengan pasangan itu pada tahun 2013 sebelum visanya luput pada tahun 2014.
Menurutnya, Tamil Arasi memberitahu visanya terlalu mahal untuk diperbaharui. Namun dia perlu terus bekerja untuk pasangan itu. Jika enggan, dia akan dihantar semula ke Sri Lanka yang dibelenggu peperangan.
Parimaladevi membuat keputusan untuk melaporkan hal tersebut kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
Dia dibawa keluar dari rumah yang terletak di East 43rd Street itu pada 6 Mac 2014 dan kini menetap di sebuah rumah perlindungan.
Saman yang dikemukakan mendakwa pasangan itu melanggar undang-undang yang digubal untuk melindungi mangsa pemerdagangan manusia.
Mereka juga disaman kerana melanggar undang-undang buruh dan undang-undang kontrak.
#diplomat Malaysia #New York #pembantu rumah
;