Pembantu restoran dipenjara dua tahun kerana sokong kumpulan pengganas

Bernama
Januari 20, 2016 22:54 MYT
Hakim menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fadhil Ibrahim, 25, dan memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 13 Oktober 2014.
Seorang pembantu restoran dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan cubaan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daish, dua tahun lepas.
Hakim Datuk Mohamad Shariff Abu Samah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fadhil Ibrahim, 25, dan memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 13 Oktober 2014.
Mohamad Shariff berkata selain mengambil kira faktor umur dan latar belakang pendidikan tertuduh, mahkamah juga turut mempertimbangkan faktor kepentingan awam yang mengutuk aktiviti keganasan.
"Masyarakat kita dan masyarakat antarabangsa mengutuk perbuatan ini (keganasan), dalam meneliti kepentingan awam dan keadaan semasa yang berlaku sekarang, tertuduh perlu ingat sekiranya ada adik-beradik dan ibu bapa kita yang kena tembak, macam mana?
"Awak akan rasa terkilan apabila ia melibatkan ahli keluarga kita, kita akan rasa apa yang orang lain rasa," katanya.
Jadikan pengajaran
Hakim itu juga menasihatkan Muhammad Fadhil agar benar-benar insaf dengan kesalahan yang dilakukannya dan berharap dapat menggunakan tempoh hukuman penjara itu sebagai pengajaran untuk masa depan yang lebih cerah dan bermakna.
"Kita (mahkamah) berharap keinsafan Muhammad Fadhil ini mencerminkan keperibadian Muhammad Fadhil di masa depan. Kita juga berharap Muhammad Fadhil akan mendalami ilmu agama, tetapi perlu diteliti dahulu sama ada ia yang benar atau sebaliknya.
"Kalau nak berjihad tidak perlu jauh-jauh, di Malaysia pun boleh berjihad juga...baca al-Quran dan bantu ibu bapa itu juga sebahagian daripada jihad," katanya.
Muhammad Fadhil didakwa cuba memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daish dengan cara membeli tiket penerbangan pesawat Emirates dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Istanbul, Turki, untuk memasuki Syria melalui Istanbul bagi manfaat kumpulan pengganas itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Hakim Sdn Bhd, Jalan Zikron E7/E, Seksyen 7, Shah Alam pada 13 Okt 2014, pukul 10.50 malam, mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.
Mengikut fakta kes, tertuduh mula menyertai Harakah Islam Malaysia (HIM) pada tahun 2010 di Bangi, Selangor yang banyak mendedahkan tertuduh tentang jihad dan mengajak pengikut berhijrah ke Negara Islam Indonesia (NII), ketika itu tertuduh telah dua kali mengikuti usrah iaitu pada 2010 dan 2012.
Kumpul wang
Pada tahun 2014 tertuduh bersama rakannya, Muhammad Na'eem Apandi bersepakat mengumpul wang untuk ke Syria bagi menyertai Daesh, mereka kemudian diperkenalkan kepada dua orang individu untuk mendapatkan pekerjaan sebagai tukang masak dan kru di sebuah restoran.
Pada Ogos 2014, tertuduh telah diperkenalkan kepada seorang lelaki, Rohaimi Abdul Rahim dengan tujuan mendapatkan maklumat mengenai pergolakan di Syria, selepas itu berlaku beberapa pertemuan antara tertuduh dengan individu lain sehinggalah pada penghujung bulan September 2014 tertuduh menerima sampul berisi wang berjumlah RM7,500 untuk membeli tiket penerbangan ke Syria.
Pada 26 September 2014, Muhammad Fadhil telah membeli tiket penerbangan pesawat Emirates EK347 secara dalam talian untuk perjalanan pada 15 Oktober 2014 pukul 4.30 petang dari KLIA ke Dubai, seterusnya menaiki pesawat Emirates EK121 pada 16 Oktober 2014 pukul 4.05 petang dari Dubai-Istanbul. Tertuduh telah membayar RM2,483 untuk perjalanan dua hala.
Beliau kemudiannya ditangkap bersama Rohaimi dan beberapa individu lain semasa mengadakan perjumpaan di Restoran Hakim Sdn Bhd.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin memohon mahkamah agar memberikan hukuman yang setimpal agar ia dapat menjadi pengajaran kepada masyarakat.
"Walaupun tuduhan adalah cubaan untuk beri sokongan kepada kumpulan Daish, iaitu dengan memasuki Syria melalui Istanbul, jika tidak dihalang akan mengakibatkan sesuatu yang buruk ibarat nasi telah menjadi bubur. Tertuduh masih muda sepatutnya memberi sumbangan terhadap pembangunan negara sendiri," katanya.
Peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili Muhammad Fadhil berkata ini adalah kesalahan pertama tertuduh dan dia perlu diberi peluang memandangkan usianya yang masih muda.
"Tertuduh telah berada dalam tahanan sejak setahun yang lepas, duduk berasingan daripada tahanan yang lain, ini sudah pasti memberi pengajaran kepada tertuduh," katanya.
#daish #hukum penjara #lelaki didakwa #mahkamah #Sokong pengganas #Syria
;