Pembantu penguat kuasa JPJ didakwa terima suapan hampir RM8,000

Noraniza Kamsani
Februari 5, 2020 13:31 MYT
Sharin (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini. - Astro AWANI/NORANIZA KAMSANI
Seorang Pembantu Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan menerima suapan membabitkan RM7,700.
Jumlah itu didakwa diterima daripada tiga individu antara Jun dan Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Sharin Safami Zainudin, 35 tahun, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya pagi ini.
Mengikut kertas pertuduhan, Sharin didakwa menerima suapan sebanyak enam kali berjumlah RM5,200 daripada Irwan Kamarol Hisham Mohammad Shaharani, RM500 daripada Khor Yoke Kia dan RM2,000 daripada Loh Meng Chong, melalui akaun Maybank milik Junaidi Zainun.
Suapan itu diberikan ketiga-tiga individu terbabit sebagai dorongan kepada tertuduh yang bekerja sebagai pembantu penguatkuasa timbang Paya Rambutan Gambang di Pahang untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori terlebih muatan.
Kesemua sembilan pertuduhan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh di Maybank cawangan Taman Tas, di sini antara 11 Jun dan 14 Ogos 2019.
Sharin didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh di hukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Hukuman penjara boleh dikenakan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana nilai yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Sarah Zainal Abidin menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.
Peguam Datuk Zaidi Zainal yang mewakili tertuduh bersetuju dengan ikat jamin yang ditawarkan.
Kes disebut semula 9 Mac depan.
#ikat jamin #Jabatan Pengangkutan Jalan #JPJ #lori lebih muatan #mahkamah #mengaku tidak bersalah #Pahang #penguat kuasa #penguatkuasa timbang #Rasuah #Sharin Safami Zainudin #SPRM #suapan
;