Pembantu klinik mengaku tidak bersalah buat hantaran jelik terhadap PM kelapan
Bernama
November 1, 2023 15:10 MYT
November 1, 2023 15:10 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang pembantu klinik di Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap Perdana Menteri kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiga tahun lepas.
Tai Zee Zing, 31, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya di Facebook iaitu "Can hired killer to kill new prime minister" di profil Facebook "Penny Tai" dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada 12.35 tengah hari, 1 Mac 2020.
Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 233 (1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid memohon jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam Rajsurian Pillai mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya yang masih bujang dan berpendapatan RM3,000 sebulan, perlu menanggung kedua ibu bapanya.
"Saya membantah syarat tambahan itu kerana anak guam saya sedang melanjutkan pelajaran dalam jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan di Singapura.
"Mahkamah perlu mengambil kira kehadiran anak guam saya hari ini memandangkan kes ini telah lama dan tiada risiko untuknya melarikan diri selain dia memberi kerjasama baik kepada polis sepanjang siasatan dijalankan," kata peguam itu.
Hakim Wan Norisham Wan Yaakob membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan tidak mengenakan syarat tambahan memandangkan tertuduh sedang melanjutkan pelajaran di Singapura.
Mahkamah menetapkan 20 Dis untuk kes disebut semula.
-- BERNAMA