Pembantu kedai perabot halang dua penjawat awam
Astro Awani
Disember 20, 2012 15:55 MYT
Disember 20, 2012 15:55 MYT
Seorang pembantu kedai perabot hari ini didakwa di mahkamah majistret Jalan Duta di atas kesalahan menghalang dua penjawat awam untuk menjalankan tugas dengan sengaja sehingga menyebabkan kecederaan.
Maikir Bin Jumaidil, 25, dituduh melakukan kesalahan pada 16 Disember yang lalu di Jalan Megah Mendung, Brickfields pada pukul 4 petang.
Tertuduh didakwa dibawah seksyen 353 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kecederaan di bahagian mata kepada dua penjawat awam iaitu Lans Koperal Muhd Nizam Mustapha dan Detektif Nizam Abdul Wahab.
Walaubagaimanapun, tertuduh tidak mengaku bersalah dan memohon untuk dibicarakan.
Timbalan Pegawai Pendakwaraya Wong Chai Sia kemudiannya memohon kepada mahkamah untuk menetapkan ikat jamin sebanyak RM5000.
Peguam tertuduh Muhammad Shazwan Mohd Salleh bagaimanapun merayu agar mahkamah merendahkan ikat jamin atas alasan anak guamnya berpendapatan rendah dan menanggung adik beradik serta isterinya yang tidak bekerja.
Majistret Zaki Asyraf Zubir menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM4500 dan kes tersebut akan disebut semula pada 17 Januari.
Jika disabitkan dengan kesalahan tertuduh boleh dipenjara dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.