Pembantu kedai makan mengaku bersalah tinggalkan bayi perempuan di kedai makan

Bernama
Februari 7, 2025 14:00 MYT
Nor Zainab dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar hari ini. - Gambar/ Sinar Harian
KANGAR: Seorang pembantu kedai makan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan meninggalkan bayi perempuannya di sebuah kedai makan di Sanglang, dekat sini pada 19 Jan.
Nor Zainab Jamaludin, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya hari ini.
Wanita itu didakwa telah meninggalkan seorang bayi perempuan yang dilahirkannya di kedai makan berkenaan di Kampung Rama, Sanglang pada 6.30 pagi, 19 Jan.
Nor Zainab didakwa mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala wanita itu diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Hajar Che Ahmad.
Tengku Ruqayyah kemudian memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baharu untuk laporan kimia dan forensik.
Majistret Ana Rozana Mohd Nor menetapkan 19 Mac untuk serahan dokumen dan membenarkan Nor Zainab dijamin RM6,000 dengan seorang penjamin.
-- BERNAMA
#tinggal bayi #kes mahkamah #pembantu kedai makan #kes buang bayi
;