Pembantu kedai makan ditahan rogol nenek berusia 71 tahun di Cyberjaya

Umavathi Ramayah
September 13, 2024 19:42 MYT
Wan Kamarul Azran berkata, bertindak atas laporan, polis melakukan serbuan di Cyberjaya dan menahan seorang warga asing yang bekerja sebagai pembantu kedai makan. - Gambar fail/BERNAMA
SEPANG: Polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun selepas dipercayai merogol dan menyamun seorang nenek berusia 71 tahun di tangga berhampiran lif sebuah apartment di Cyberjaya, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, polis menerima laporan daripada mangsa pada pukul 12.08 tengah malam Jumaat.
"Bertindak atas laporan itu, polis melakukan serbuan di Cyberjaya dan menahan seorang warga asing yang bekerja sebagai pembantu kedai makan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Wan Kamarul memberitahu,dalam serbuan itu, polis turut merampas telefon pintar dan barang kemas milik mangsa yang dipercayai disamun suspek.
Menurutnya, suspek akan direman di Mahkamah Majistret Sepang pada Sabtu.
Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan.
Lelaki itu juga disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
"Polis menasihati orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi serta tidak berkongsi berita yang tidak benar berkaitan kejadian," ujarnya.
#rogol warga emas #rogol nenek #Cyberjaya #warga asing dtahan #samun nenek #Polis Sepang
;