Pembantu kedai makan dipenjara 18 bulan halang tugas penjawat awam

Bernama
Mei 10, 2022 17:22 MYT
Tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu melakukan khianat dengan melanggar kereta polis dan menghalang penjawat awam yang menjalankan tugas. - Gambar hiasan
LUMUT: Seorang pembantu kedai makan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Seri Manjung di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu melakukan khianat dengan melanggar kereta polis dan menghalang penjawat awam yang menjalankan tugas.
Tertuduh, Shahrul Nizam Mohammad Shuhaimi, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan niat telah melakukan khianat dengan melanggar bahagian hadapan sebelah kiri kereta milik Polis Diraja Malaysia yang menyebabkan kerugian RM1,200 yang mana Shahrul Nizam didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Bangunan Toyota Seri Manjung di sini antara pukul 8.40 pagi hingga 9.40 pagi pada 4 Mei lepas.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun atau tidak lebih dari lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati tidak memberi kerjasama serta menghalang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas dengan sengaja tidak memberhentikan kenderaan dan bertindak agresif bertujuan menghalang pihak polis melakukan tangkapan dan dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan restoran Horizon Garden di Seri Manjung di sini pada waktu dan tarikh yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menjatuhi hukuman 18 bulan penjara bagi setiap pertuduhan, yang dijalankan secara serentak bermula dari tarikh dia ditahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nurjihan Jaya manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Amani Williams Hunt Abdullah.
-- BERNAMA
#pembantu kedai makan #halang tugas penjawat awam #penjara #Mahkamah Seri Manjung #langgar kereta polis #PDRM #Shahrul Nizam Mohammad Shuhaimi
;