Pembantu kedai makan didakwa tipu dalam penjualan kenderaan

Bernama
November 1, 2024 23:27 MYT
Mohamad Lokman didakwa telah memperdayakan seorang individu dengan mengiklankan penjualan kereta terbabit dengan nombor pendaftaran palsu yang tidak mempunyai geran sah. - Gambar Bernama
KUANTAN: Seorang pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu dalam penjualan kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard bulan lepas.
Mohamad Lokman Suardi, 33, dari Kuala Krau, Temerloh, didakwa telah memperdayakan seorang individu dengan mengiklankan penjualan kereta terbabit dengan nombor pendaftaran palsu yang tidak mempunyai geran sah sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan wang berjumlah RM25,150 kepadanya.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Taman Aneka Jaya di sini, kira-kira pukul 10 malam pada 5 Okt lepas. Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Abdul Wahab menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nur Hafidza Baharudin yang mewakili tertuduh memohon wang jaminan itu dikurangkan memandang Mohamad Lokman hanya berpendapatan RM1,400 sebulan dan perlu menanggung enam anak serta bapa yang lumpuh.
Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin serta 29 Nov untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
#Mahkamah Majistret #YBGK #Toyota Alphard #sebutan semula kes
;