Pembantu kartunis Zunar ditahan jual buku sindir institusi kehakiman
Bernama
November 7, 2014 12:40 MYT
November 7, 2014 12:40 MYT
Pembantu kepada kartunis kontroversi, Zulkifli Anwar Ulhaque atau dikenali sebagai Zunar, ditahan di pekarangan Istana Kehakiman di sini Khamis, dipercayai kerana menjual buku yang mengandungi sindiran kepada institusi kehakiman dan pemimpin negara.
Turut ditahan seorang lagi wanita bersama seorang lelaki yang dipercayai membantunya mempamer dan menjual buku tersebut sejak perbicaraan kes liwat membabitkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung pada Selasa lepas.
Ketiga-tiga mereka ditahan anggota polis berpakaian preman kira-kira 6.50 petang dengan buku, kad serta komik yang dijual turut dirampas.
Mereka kemudiannya dibawa dengan sebuah van polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan penahanan ketiga-tiga individu berkenaan yang seorang daripadanya adalah isteri kepada kartunis Zunar.
"Dua daripada mereka berusia 41 tahun, manakala seorang lagi wanita berumur 29 tahun dan kesemuanya ditahan di bawah Seksyen 2 (3) Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984," katanya.
Sebelum ini Kementerian Dalam Negeri pernah mengenakan Perintah Larangan terhadap sebuah buku dan dua komik sindiran politik tulisan Zunar, mengikut akta sama.