Pembantu jualan maut kemalangan di Jalan Temerloh-Bahau
Azee Shafy
November 10, 2022 11:50 MYT
November 10, 2022 11:50 MYT
BERA: Seorang pembantu jualan di salah sebuah kedai serbaneka di Triang Sentral maut dalam satu kemalangan di Kilometer 28 Jalan Temerloh-Bahau, sekitar jam 10.30 malam tadi.
Mangsa, Nur Atikah Jaafar, 25 tahun, beralamat di Kampung Durian Tawar, dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya.
Ketua Polis Daerah Bera Supt Mansor Samsudin berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menaiki motosikal Demak Matrix Sport sedang dalam perjalanan dari Bandar Triang.
Setiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai melanggar belakang sebuah Toyota Hilux dari arah bertentangan yang memasuki simpang secara tiba-tiba.
"Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke tengah jalan, sebelum dilanggar oleh sebuah kenderaan lain dari arah bertentangan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.
Setakat ini, kenderaan yang melanggar mangsa masih belum dikenal pasti.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.