Pembantu jualan dipenjara 6 tahun, 6 sebatan lakukan amang seksual
Bernama
Jun 16, 2022 15:40 MYT
Jun 16, 2022 15:40 MYT
SEREMBAN: Seorang pembantu jualan di sebuah kedai serbaneka dipenjara enam tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan, dua tahun lepas.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman terhadap Shukri Md Yasin, 36, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara dijalankan secara serentak bermula tarikh tangkapan pada 20 Jun 2020 sementara hukuman sebat secara berasingan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa yang berusia 13 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kuala Klawang, Jelebu dekat sini kira-kira 2 pagi, 19 Jun 2020.
Bagi pertuduhan kedua, dia turut didakwa melakukan perbuatan sama di lokasi sama pada 3 pagi, 20 Jun 2020.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norshawani Ishak manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA